Elon Musk dakwa perang saudara tidak dapat dielakkan di Britain 

ELON MUSK

Sebuah kereta terbakar semasa rusuhan anti imigran di Middlesbrough. – PA

LONDON – Downing Street mengecam Elon Musk kerana mendakwa bahawa ‘perang saudara tidak dapat dielakkan’ di Britain, lapor sebuah akhbar hari ini.

Seorang jurucakap pejabat Perdana Menteri Britain itu menegaskan, komen Musk langsung tiada  justifikasi.

“Kita bercakap tentang segelintir samseng yang membuat kacau dan mereka tidak mewakili seluruh rakyat Britain,” katanya.

Menurut jurucakap sama, maklumat salah dalam pada platform media sosial milik Musk, X boleh dipersalahkan kerana membantu menyemarakkan rusuhan dan serangan puak berhaluan kanan yang bermotifkan perkauman.

Berikutan pembohongan mengenai identiti suspek dalam serangan pisau di Southport pada Isnin minggu lalu, rusuhan tercetus sepanjang hujung minggu lepas di beberapa buah bandar di Britain.

Ia menyaksikan kumpulan penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Hull, Halifax, Liverpool, London, Southport dan Rotherham.

Perusuh turut membakar hotel yang menempatkan pencari suaka di Manvers dan Tamworth.

Musk membalas kenyataan dan komen tidak benar semalam yang mendakwa bahawa keganasan Britain itu adalah ‘kesan daripada penghijrahan besar-besaran imigran dan dasar sempadan terbuka’.

“Perang saudara (di Britain) tidak dapat dielakkan,” kata pengasas Tesla dan SpaceX tersebut.

Komen Musk itu menandakan kali keenam sejak Oktober tahun lalu di mana beliau Musk mendakwa bahawa perang saudara berlaku di Eropah. – AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *