PENAMPANG – Dua maut manakala seorang cedera ekoran kereta dinaiki selepas menghadiri majlis perkahwinan terjatuh ke gaung di Jalan Penampang – Tambunan berhampiran Kampung Moyog malam tadi.
Dalam kejadian seminar pukul 8 malam itu ketiga-tiga mangsa yang juga sepupu difahamkan dalam perjalanan pulang ke Kampung Madsiang selepas menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di Tambunan.
Pemandu Steve Oyong, 54, dan penumpang Rayner Jentolmin@Condrad, 49, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Maxwell Minor, 29, dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Penguasa Bomba, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.15 malam sebelum seramai sembilan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bertugas mendapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan Isuzu Bighorn terbabas sendiri lalu terjatuh dalam gaung.
“Anggota bertugas kemudiannya bertindak menaikkan semua mangsa yang berada di gaung. Pasukan EMRS bertindak memberi rawatan awal kepada seorang mangsa yang cedera dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan ambulans,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu katanya, dua lagi mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan.
“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,”katanya. – https://amiminerals.org/