Dua ‘banker’ China didakwa kes pengubahan wang haram RM10 bilion

banker

GAMBAR fail menunjukkan sebuah mahkamah di Singapura. – CNA

SINGAPURA – Dua bekas pekerja bank yang mana kedua-dua mereka  warga China, didakwa di Singapura hari ini berhubung kes pengubahan wang haram terbesar di negara berkenaan, kata polis.

Aset bernilai lebih SGD$3 bilion (RM10 bilion) termasuk hartanah mewah, kereta mewah dan jongkong emas telah dirampas dalam operasi besar-besaran polis yang bermula pada Ogos tahun lalu.

Seramai 10 warga asing ditahan. Kesemuanya merupakan  anggota  sindiket yang disyaki melakukan pengubahan wang haram hasil aktiviti jenayah di luar negara termasuk penipuan dan perjudian online.

Mereka kemudiannya disabitkan kesalahan dan dihantar pulang selepas menjalani hukuman penjara.

Kesemua mereka  berasal dari China tetapi majoriti memegang pasport dari Kemboja, Turkiye, Cyprus dan Vanuatu.

Pada Khamis minggu lalu, dua bekas pegawai bank yang disyaki membantu mereka  didakwa di mahkamah daerah.

Liu Kai, 35, dahulunya bekerja di Bank Julius Baer & Co, dituduh membantu salah seorang penjenayah tersebut dalam mengemukakan dokumen cukai palsu untuk membuka akaun bank di Switzerland, demikian menurut kertas pertuduhan.

Wang Qiming, 26, yang merupakan  bekas pekerja Citibank Singapore Ltd, dikenakan 10 pertuduhan  termasuk memalsukan dokumen bagi tujuan menipu bank dan pengubahan wang haram milik salah seorang yang disabitkan kesalahan.

Liew Yik Kit, 41 iaitu  warga Singapura yang berkhidmat sebagai pemandu peribadi suspek yang melarikan diri, turut didakwa kerana berbohong kepada polis dan menghalang keadilan.

“Kami memandang serius tentang pengubahan wang haram yang melintasi  sistem kewangan kami,” kata  pengarah Jabatan Hal Ehwal Komersial polis Singapura,  David Chew. – AFP 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *