WASHINGTON – Sebuah dron jatuh dari langit dan terhempas di halaman belakang sebuah rumah dalam kejadian di negeri New Jersey, lapor akhbar New York Post.
Insiden di bandar Pequannock itu mendorong kunjungan datuk bandar yang tiba di lokasi kejadian dengan menaiki kenderaan rasmi,
Polis berkata, dron itu terhempas di sebuah kejiranan di Pequannock, daerah Morris sekitar pukul 8.45 malam (waktu tempatan).
“Anggota kami mendapati ia adalah dron permainan untuk hobi dan bukan dron komersial yang besar atau pesawat kawalan jauh tentera,” kata Jabatan Polis Pequannock kepada New York Post.
Datuk Bandar Pequannock, Ryan Herd kemudian memberitahu, dron yang terhempas itu bukan sebesar sebuah kereta seperti digembar-gemburkan sebelum ini.
“Kami tidak pasti pemilik dron, tujuan ia terbang dan dari mana ia berlepas,” katanya.
Pihak pendakwa raya daerah sedang menyiasat kejadian tersebut.
Pusat Penyelidikan, Pembangunan dan Kejuruteraan Persenjataan Tentera Amerika Syarikat yang terletak di Picatinny Arsenal, New Jersey menjadi salah satu lokasi penemuan beberapa dron misteri sejak kebelakangan ini yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai. – AGENSI