LONDON – Seorang pakar bedah di England mengejutkan orang ramai kerana menggunakan sebilah pisau lipat untuk melakukan pembedahan pada seorang pesakit, lapor saluran berita Daily Star kelmarin.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di Hospital Royal Sussex, Brighton.
Doktor itu menggunakan pisau lipat untuk membedah kulit pesakitnya kerana tidak menemui pisau steril khas yang digunakan untuk tujuan pembedahan.
Seorang saksi, Graeme Poston berkata: “Perbuatannya mengejutkan saya. Pertama, dia menggunakan pisau lipat tidak steril. Kedua, pisau itu bukan instrumen pembedahan.
“Ketiga pula, semua peralatan pembedahan telah disediakan dan pisau pembedahan harus ada di dalam bilik pembedahan,” tambah Poston.
Pesakit itu bagaimanapun terselamat tetapi dokumen sulit mendedahkan bahawa rakan sekerjanya terkejut dengan tingkah laku berisiko itu. – AGENSI