MONTGOMERY, ALABAMA – Seorang wanita di negeri Alabama terpaksa menjalani pembedahan membuang buah pinggang babi apabila badannya mula menolak organ tersebut, lapor akhbar New York Post semalam.
Towana Looney menjalani prosedur membuang ginjal babi pada 4 April lalu di hospital NYU Langone Health selepas menggunakan organ itu selama 130 hari.
Susulan pembedahan itu, Towana akan kembali menjalani rawatan dialisis. Pesakit dibenarkan pulang ke rumah di Gadsden selepas keadaannya semakin stabil.
Dalam satu kenyataan, Looney mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan yang memberi peluang kepadanya untuk menjadi sebahagian daripada penyelidikan bersejarah itu.
“Meskipun hasilnya tidak seperti diharapkan, banyak perkara yang saya pelajari dengan pengalaman menggunakan ginjal babi selama 130 hari.
“Ia boleh membantu serta memberi inspirasi kepada orang ramai dalam usaha untuk merawat penyakit buah pinggang,” tambah Looney.
Pakar bedah NYU Langone, Robert Montgomery berkata, punca penolakan itu masih disiasat. – AGENSI