NEW DELHI – Seorang doktor di negeri Bihar, India dituduh menyebabkan kematian seorang remaja berusia 15 tahun selepas menjalankan pembedahan ke atas mangsa sambil menonton tutorial pada laman perkongsian video YouTube, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Ajit Kumar Puri, didakwa menjadi punca kematian pesakit berkenaan selepas dia dibawa ke Hospital Ganpati, Saran.
Menurut bapa mangsa, remaja itu dibawa ke hospital berkenaan pada Jumaat minggu lepas setelah dia muntah-muntah teruk.
Selepas memeriksa keadaannya, Ajit membuat keputusan bahawa mangsa perlu dibedah bagi mengeluarkan batu karang yang didakwa menjadi punca keadaan itu.
Ajit membedahnya tanpa kebenaran keluarga, seterusnya mengakibatkan keadaan pesakit bertambah teruk secara tiba-tiba.
Dia kemudian memutuskan bahawa mangsa perlu dipindahkan ke hospital lain tetapi pesakit berkenaan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
“Kami membawa dia (mangsa) ke hospital kerana muntah-muntah. Namun, doktor Ajit Kumar Puri berkata bahawa dia perlu dibedah.
“Dia menjalankan pembedahan sambil menonton video (tutorial) di YouTube. Anak saya meninggal dunia selepas itu,” kata bapa mangsa.
Aduan terhadap doktor tersebut telah difailkan, manakala pihak berkuasa sedang menunggu keputusan bedah siasat ke atas mayat mangsa.
Sementara itu, suspek melarikan diri dan masih tidak ditemui, menyebabkan keluarga mangsa serta polis mengesyaki bahawa dia bukan doktor sebenar. – AGENSI