JAKARTA – Perbuatan seorang wanita selamba berdiri dan bergambar di atas bangkai seekor paus terdampar di sebuah pantai di Indonesia mengundang kecaman orang ramai, lapor saluran berita Abata News semalam.
Kejadian berlaku di Lumajang, wilayah Jawa Timur.
Rakaman kejadian yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @fakta.ondo memaparkan wanita itu menghampiri bangkai mamalia tersebut bersama dua kanak-kanak.
Dia meminta seorang kanak-kanak perempuan untuk merakam gambarnya bersama bangkai itu.
Wanita itu juga bergaya dan tidak menyedari bahawa perbuatan tersebut berbahaya.
Rakaman itu mencatatkan lebih 810,000 tontonan di laman sosial dan menimbulkan kemarahan ramai netizen.
“Dia sempat memakai topi keledar. Kalau bangkai paus kembung itu meletup, sekurang-kurangnya kepalanya masih ada,” sindir seorang netizen.
“Dia yang ‘posing’, saya pula yang malu,” sindir netizen lain. – AGENSI