BANGKOK – Mahkamah Thailand menjatuhi hukuman penjara seumur hidup terhadap anak lelaki pelakon terkenal Sepanyol, Daniel Sancho Bronchalo kerana membunuh seorang pakar bedah plastik Colombia di sebuah pulau percutian tropika, dalam kes pembunuhan kejam yang menggemparkan rakyat Sepanyol.
Bronchalo yang merupakan seorang cef berusia 30 tahun, didapati bersalah kerana melakukan pembunuhan terancang terhadap Edwin Arrieta Arteaga di pulau pelancongan Koh Phangan, tahun lalu.
Kes itu mencetuskan minat besar di Sepanyol kerana bapa defendan, Rodolfo Sancho ialah seorang pelakon terkenal, manakala ramai wartawan Sepanyol membuat liputan perbicaraan anaknya.
Mahkamah di pulau Koh Samui menyatakan, Bronchalo dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan diperintah membayar ganti rugi berjumlah 4.4 juta baht (RM559,783) kepada keluarga Arrieta.
Peguam keluarga mangsa, Bussakorn Kaewleeled berkata, mereka berpuas hati dengan keputusan mahkamah.
“Keluarga mangsa puas hati dengan hukuman itu kerana tertuduh akan dimasukkan ke dalam penjara seumur hidupnya dan mereka juga menerima sedikit pampasan kewangan,” kata Bussakorn kepada pemberita di luar mahkamah berkenaan di Koh Samui.
“Mahkamah telah membuat keputusan dan kedua-dua belah pihak mempunyai hak untuk membuat rayuan,” tambahnya.
Mahkamah mendengar bahawa Sancho mencincang mayat Arrieta dan memasukkan cebisan badan mangsa ke dalam beberapa beg plastik sebelum membuangnya di sekitar Koh Phangan.
“Kami tidak menjangkakannya (hukuman penjara seumur hidup) tetapi kami mesti menerima keputusan mahkamah Thailand, kami harus menghormatinya,”kata peguam tertuduh, Carmen Balfagon kepada pemberita.
Seorang lagi peguam tertuduh, Marcos Garcia-Montes berkata, mereka akan mengemukakan rayuan kepada mahkamah lebih tinggi.
Bronchalo mendakwa bahawa dia membunuh Arrieta, 44, untuk mempertahankan diri dan mengaku menyembunyikan mayat mangsa. Bagaimanapun, dia menafikan memusnahkan pasport warga Colombia itu.
Walaupun Thailand masih mempunyai hukuman mati untuk beberapa jenayah berat termasuk pembunuhan terancang, ia jarang melaksanakan hukuman tersebut dengan kali terakhir pada 2018.
“Biar saja dia ditinggalkan di Thailand supaya dia boleh mengambil masa yang Tuhan berikan kepadanya untuk memikirkan apa yang dia telah lakukan,”kata saudara perempuan mangsa, Darling Arrieta dalam dokumentari HBO mengenai kes itu.
Bronchalo dan Arrieta bersetuju untuk bertemu secara peribadi selepas mengenali antara satu sama lain secara online.
Bapa Bronchalo berkata dalam dokumentari HBO yang sama bahawa Arrieta telah mengugut anaknya dan kemudian ‘berlaku pergaduhan, manakala dalam pergaduhan itu, berlaku ‘kemalangan’.
Pihak pembelaan sebelum ini berhujah bahawa Bronchalo bertindak mempertahankan diri selepas Arrieta cuba memaksanya melakukan hubungan seks.
“Dia cuba merogol saya dan kami bergaduh,” kata Bronchalo dalam satu kenyataan yang dipetik akhbar harian Sepanyol, El Mundo.
Bagaimanapun, seorang lagi peguam untuk keluarga mangsa, Juan Gonzalo Ospina berkata dalam temu bual dengan akhbar El Mundo baru-baru ini bahawa Sancho mereka-reka cerita.
Menurutnya semasa perbicaraan pada April lalu, Sancho telah membeli pisau, beg plastik dan cecair pembersih sebelum jenayah itu, dan menyimpannya di dalam bilik tempat pembunuhan berlaku. – AFP