PETALING JAYA – Isu utama yang dibangkitkan pada persidangan APEC Peru, G20 Brazil dan Riyadh serta tahap pencapaian Kerajaan Madani setelah mencapai usia dua tahun pentadbiran, antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen Malaysia, Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) akan bertanyakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu utama yang dibincangkan pada sidang berkenaan sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Selain itu, Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) meminta Perdana Menteri menyatakan tahap pencapaian Kerajaan Madani setelah mencapai usia dua tahun pentadbiran dalam melaksanakan pelbagai janji reformasi antaranya usaha memerangi rasuah, memperkukuh integriti institusi, memperkasakan sistem demokrasi serta menjamin kebebasan media dan hak bersuara rakyat.
Sementara itu, pada sesi soal jawab lisan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) meminta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mencegah dan menangani banjir kilat di Kuala Lumpur.
Beliau juga ingin mengetahui senarai projek pembangunan yang telah diluluskan oleh DBKL di kawasan persekitaran kolam takungan banjir sejak 2014.
Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) pula meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan program serta libat urus yang telah dilaksanakan antara kementerian itu dengan kerajaan-kerajaan negeri di seluruh negara serta pencapaian setakat ini. – https://amiminerals.org/