SINGAPURA – Kira-kira 110 orang dilihat beratur di luar sebuah kedai Apple di Orchard Road, Singapura kira-kira pukul 6.10 pagi (waktu tempatan) semalam, menjelang pelancaran model baharu, iPhone 16, lapor portal berita AsiaOne.
Pelanggan-pelanggan yang datang ke kedai tersebut malam kelmarin diberitahu oleh pekerja Apple untuk kembali semula pada pukul 4 pagi (waktu tempatan) keesokan harinya untuk beratur.
Kedai Apple itu dibuka pada pukul 8 pagi (waktu tempatan).
Telefon bimbit iPhone 16 ialah telefon pintar Apple pertama yang direka menggunakan ciri kecerdasan buatan (AI).
Pra-pesanan untuk telefon itu bermula pada 13 September lalu.
Ia dijual pada harga antara SG$1,299 (RM4,227) hingga SG$1,749 (RM5,691).
Harold Lim, 22, orang pertama dalam barisan di kedai Apple itu memberitahu The Straits Times bahawa buat pertama kalinya dia beratur untuk membeli iPhone.
“Saya datang kira-kira pukul 10 malam tadi (waktu tempatan).
“Saya pergi ke kedai kopi berdekatan di Teater Shaw selama beberapa jam dan kembali semula ke sini pada pukul 3 pagi (waktu tempatan),”katanya.
Lim kemudian menyedari bahawa dia adalah orang pertama di sana. – AGENSI