PETALING JAYA – Rumah tangga didakwa goyah, pempengaruh Alif Teega menafikan spekulasi bakal berpisah dengan isteri pertamanya, Aisyah Hijanah.
Perkara tersebut dilihat berdasarkan reaksinya yang terkejut dengan pertanyaan netizen mengenai tindakan Aisyah memfailkan perceraian.
“Saya tidak tahulah, dapat dari mana cerita itu?
“Saya pun tak ada cakap dan Aisyah sendiri tidak buat hantaran apa-apa.
“Sekarang ini saya hanya fokus Hijanah (perniagaan) sahaja,” katanya menerusi komen.
Pertanyaan tersebut dibalas melalui hantaran terbaharu dalam Instagramnya yang memaparkan aktiviti promosi tudung bersama Aisyah.
Rata-rata netizen pelik melihat kemesraan mereka yang dipamerkan dalam sebuah video Instagram.
Begitupun menerusi semakan Kosmo! Online, maklum balas kepada pengikutnya itu sudah dipadamkan.
Sebelum ini, isterinya Aisyah Hijanah Azhari memfailkan tuntutan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, Ampang, Selangor pada Ogos lalu.
Bagaimanapun, pempengaruh berusia 26 tahun itu enggan memperincikan punca berbuat demikian ketika hubungannya dengan suami tampak bahagia.
Aisyah dan Alif Teega atau nama sebenarnya, Mohd Hazalif Mohd Hazani berkahwin pada 25 November 2017 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Khadeejah Hijanah, Muhammad Hassan Syarif, dan Safiyyah Hijanah.
Rumah tangga pasangan itu menjadi perhatian apabila Alif menikahi wanita dikenali sebagai Fatin Umaidah di Thailand pada 18 November tahun lalu ketika Aisyah sarat hamil. – https://amiminerals.org/