PETALING JAYA – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan kira-kira 30 kampung di sekitar Kuala Krai, Kelantan akan mengalami banjir bermula esok sehingga Jumaat.
Menerusi satu kenyataan, JPS berkata, kampung yang terlibat adalah berada dalam radius lima kilometer berhampiran Sungai Galas, Sungai Lebir dan Sungai Pahi.
Jelasnya, jangkaan tersebut susulan ramalan hujan berterusan tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Khamis lalu.
“Bagi kawasan sekitar Sungai Galas kampung yang terlibat adalah Kampung Mambong, Kampung Dabong, Kampung Kemubu, Kampung Kuala Gris, Kampung Bahagia dan Kampung Biak.
“Untuk Sungai Lebir pula, ia membabitkan Kampung Tualang, Kampung Bekok, Kampung Manik Urai, Kampung Gajah, Kampung Laloh dan Kampung Karangan.
“Turut terlibat, Kampung Manjor, Kampung Mesek, Kampung Baru Sungai Mengkuang, Kampung Temiang, Kampung Cheneh, Lata Rek, Kampung Lela Jasa, Kampung Budi dan Kampung Sungai Sam,”katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, JPS berkata, kampung yang dijangka berlaku banjir di sekitar Sungai Pahi pula ialah Kampung Batu Mengkebang, Kampung Pahi, Kampung Gatal, Taman Perisai Wira, Dusun Damar, Kampung Belanga, Kampung Sungai Pas dan Kampung Temalir.
Menurutnya, banjir tersebut boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa dijangkakan.
“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk, terutama di kawasan yang dijangka banjir, mengambil langkah waspada dan mengikuti arahan pihak berkuasa,”katanya.-https://amiminerals.org/