Cristiano Ronaldo akan peluk agama Islam?

Geli Ronaldo11 scaled

GAMBAR fail Ronaldo (kanan) di Arab Saudi. – Foto AFP

RIYADH  – Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo yang bermain bersama kelab Al-Nassr di Arab Saudi menyuarakan hasrat untuk memeluk agama Islam, lapor akhbar The Express Tribune kelmarin.

Pendedahan mengenainya dibuat bekas penjaga gol kelab bola sepak Al-Nassr, Waleed Abdullah mengenai potensi pertukaran agama Ronaldo kepada Islam.

Muncul sebagai tetamu dalam sebuah program televisyen Arab Saudi, Abdullah mengesahkan khabar angin lama bahawa Ronaldo menyatakan hasrat untuk memeluk Islam.

“Ronaldo benar-benar mahu memeluk Islam. Saya bercakap dengannya tentang perkara itu dan dia menyatakan minatnya.

“Dia sujud di atas padang selepas menjaringkan gol. Dia sentiasa menggalakkan pemain kelab tersebut supaya solat dan mengikuti amalan agama Islam,”kata Waleed.

Bekas penjaga gol itu menjelaskan bahawa Ronaldo telah mempelajari tradisi Islam untuk berhubung dengan rakan-rakan sepasukannya yang menganut agama itu.

Dia juga memastikan rakan sekerjanya mempunyai masa untuk bersolat semasa sesi latihan.

“Apabila azan berkumandang semasa latihan, Ronaldo meminta jurulatih menghentikan latihan sehingga azan selesai,” tambahnya.

Abdullah mendedahkan bahawa ketika pertama kali Ronaldo tiba di Arab Saudi, dia berminat untuk mempelajari budaya negara itu.

“Pada mulanya, saya rapat dengan Ronaldo kerana dia tidak biasa dengan budaya negara ini, kelab atau aspek lain. Dia berasa ingin tahu dan sering bertanya soalan kepada saya mengenai perkara tertentu,” katanya.

Bekas penjaga gol itu juga menyatakan,  beberapa bekas rakan sepasukan Ronaldo di Real Madrid termasuk Mesut Ozil dan Karim Benzema pernah menggalakkannya menimbang untuk memeluk agama Islam.

Momen yang sangat menarik, katanya, berlaku apabila Ronaldo sujud selepas menjaringkan gol, mendorong semua pemain menjerit ‘Allahuakbar’ secara serentak. – AGENSI