BEIJING – China menyatakan bahawa ia melancarkan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) hari ini dengan menyasarkannya ke Lautan Pasifik, dalam ujian yang jarang berlaku ketika ia mempamerkan kekuatan tenteranya.
“Pasukan Roket Tentera China melancarkan ICBM yang membawa peledak tiruan ke laut lepas di Lautan Pasifik pada pukul 8.44 pagi (waktu tempatan) pada 25 September (hari ini).
“Peluru berpandu itu jatuh ke kawasan laut yang disasarkan,” kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan.
Beijing meningkatkan pembangunan nuklearnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, manakala Pentagon pada Oktober lalu memberi amaran bahawa China sedang membangunkan senjatanya lebih cepat daripada jangkaan Amerika Syarikat.
“China mempunyai lebih 500 peledak nuklear yang beroperasi pada Mei 2023 dan berkemungkinan mempunyai lebih daripada 1,000 menjelang 2030,” kata Washington.
Sementara itu, seorang penganalisis memberitahu AFP bahawa China biasanya menjalankan ujian sedemikian di ruang udaranya sendiri.
“Ini sangat luar biasa dan mungkin kali pertama dalam beberapa dekad, kita melihat ujian seperti ini,” kata Felo Kanan Stanton di Endowmen Carnegie untuk Keamanan Antarabangsa, Ankit Panda.
“(Ujian itu) berkemungkinan untuk mempamerkan pemodenan senjata nuklear China yang berterusan, yang ditunjukkan dalam bentuk kaedah baharu pelaksanaan ujian,” tambah penganalisis daripada firma pemikir tersebut.
Kementerian Pertahanan China bagaimanapun menyebut pelancaran ICBM itu sebagai aturan rutin dalam rancangan latihan tahunannya.
“Ia selaras dengan undang-undang antarabangsa dan amalan antarabangsa serta tidak ditujukan kepada mana-mana negara atau sasaran,” katanya. – AFP