BEIJING – Tentera China memulakan latihan tembakan peluru hidup dekat Taiwan semalam sekali gus mengekalkan tekanan ke atas Taipei selepas Beijing melancarkan eksesais besar-besaran dan Presiden Xi Jinping mengarahkan tenteranya bersiap sedia untuk berperang.
Parti Komunis China tidak pernah memerintah Taiwan tetapi menuntut pulau itu sebagai sebahagian wilayahnya dan tidak menolak penggunaan kekerasan untuk merampasnya.
Bulan ini, China menghantar sejumlah pesawat dan kapal perang mengepung Taiwan sebagai amaran keras terhadap tindakan pemisahan oleh ‘pasukan kemerdekaan Taiwan’.
Semalam Pentadbiran Keselamatan Maritim(MSA) di Pulau Pingtan mengumumkan bahawa ‘tembakan artileri’ akan diadakan di kawasan terhad berdekatan tanah besar China, kira-kira 105 kilometer dari Taiwan.
“Latihan tembakan ini akan bermula pukul 9 pagi(waktu tempatan) dan berlangsung selama empat jam di sebuah kawasan seluas 150 kilometer persegi,” kata MSA.
Pingtan ialah wilayah China paling dekat dengan Taiwan.
Sebagai tidak balas, Kementerian Pertahanan Taiwan menyatakan bahawa pihaknya memantau rapi ‘aktiviti ketenteraan dan niat’ China.
Menurut Taipei, latihan tembakan itu adalah ‘taktik untuk meningkatkan ugutan berkaitan dinamik Selat Taiwan’.
Perdana Menteri Taiwan, Cho Jung-tai pula menyifatkan latihan tembakan China sebagai ancaman yang ‘menggugat keamanan dan kestabilan’ serantau. – AFP