Chelsea ‘bernafsu’ cipta rekod baharu

Joao

FELIX (kanan) berjaya menjaringkan dua gol selepas membelasah kelab Armenia 8-0 awal pagi semalam. – CHELSEA PHOTOS

LONDON – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca memuji prestasi anak-anak buahnya selepas melakar kemenangan bergaya dengan membelasah kelab Armenia, FC Noah 8-0 pada aksi Liga Konferens Eropah di Stamford Bridge awal pagi semalam.

Menariknya, kemenangan besar itu menjadi rekod baharu Liga Konferens Eropah, memadam catatan sebelum ini yang dipegang kelab Denmark, FC Nordsjaelland selepas menewaskan Ludogorets 7-1 pada Oktober tahun lalu.

Ia juga adalah kali keempat Chelsea berjaya menang dengan keputusan 8-0, namun masih belum berjaya memecahkan rekod kemenangan terbesar kelab itu yang pernah membelasah Jeunesse Hautcharage dari Luxembourg 13-0 di pentas Eropah pada 1971.

Pada aksi tersebut, The Blues meraih gol menerusi enam penjaring berbeza melalui Tosin Adaribioyo, Marc Guiu, Axel Disasi dan Mykallo Mudryk, manakala Joao Felix serta Christopher Nkunku masing-masing meledak dua jaringan.

Menurut Maresca, bukan keputusan yang menjadi ukuran, sebaliknya mentaliti pemain yang menunjukkan mereka serius untuk mencatat kemenangan besar walaupun bertemu dengan pasukan kurang ternama.

“Pemain tahu mereka menentang pasukan kerdil tetapi masih lagi menjalankan tugas dengan begitu profesional. Ia bukanlah aksi yang mudah kerana kita boleh tersungkur andai terleka khususnya pada awal saingan.

“Ini adalah mesej yang jelas daripada pemain untuk memastikan mereka mampu berikan seratus peratus tidak kira menentang mana-mana pasukan dan saya mahu mentaliti ini dikekalkan,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan oleh Disasi yang gembira rakan-rakan sepasukan berjaya membuktikan mereka cukup ‘kebal’ untuk mengekang segala asakan daripada pelawat.

“Fokus kami bukan sahaja untuk melakar kemenangan besar tetapi misi penting adalah tidak bolos dan berjaya meraih keputusan tersebut kali ini,” katanya. – AGENSI