LONDON – Satu laporan baharu mendedahkan senarai negara dan bandar paling berbahaya untuk dilawati dengan Burkina Faso yang dilanda perang saudara dan Republik Afrika Tengah menduduki tempat teratas, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Peta Risiko Global 2025 dibuat berdasarkan risiko keganasan, pergolakan sosial, jenayah ganas dan kecil serta perubahan iklim.
Sebanyak 77 buah negara dan wilayah dinilai termasuk Tebing Barat, Semenanjung Gaza serta Israel.
Syria kekal berada dalam senarai negara kurang selamat selepas kumpulan pemberontak menggulingkan Presiden Bashar al-Assad.
Tiga bandar paling berbahaya bagi pengembara pula ialah Bangui di Republik Afrika Tengah, Beirut (Lebanon), dan Bandar Gaza (Semenanjung Gaza), di mana berpuluh-puluh ribu penduduk telah dibunuh oleh tentera Israel.
Sementara itu, UK, Perancis, Sepanyol dan Sweden memasuki kategori risiko sederhana yang merupakan kategori kedua paling selamat, manakala Itali, Belanda dan Poland mengalami risiko lebih tinggi.
Menurut laporan itu, beberapa negara menjadi lebih selamat dan beralih daripada tahap risiko yang lebih tinggi kepada senarai sederhana sepanjang tahun lepas. Ia termasuk Armenia, Argentina, Bosnia-Herzegovina, China, Maghribi dan Cuba.
Negara-negara yang dianggap berisiko rendah untuk pelancong adalah termasuk Jerman, Switzerland, Luxembourg, Belgium, Finland, Iceland dan Norway, Australia, New Zealand, Singapura dan Jepun.
Sementara itu, bandar paling selamat ialah Bern di Switzerland yang menduduki tempat teratas, diikuti oleh Doha (Qatar), Melbourne (Australia), Montreal (Kanada), Muscat (Oman) dan Ottawa (Kanada). – AGENSI