Burger King kalah kes saman ‘Burger King India’

burger king

Burger King Corporation mendakwa berlakunya pelanggaran tanda dagangan oleh restoran Burger King di bandar Pune. – BW Marketing World

NEW DELHI  – Rangkaian restoran makanan segera, Burger King kalah dalam pertikaian undang-undang selama 13 tahun terhadap sebuah restoran di India yang mempunyai nama  serupa dengannya, lapor akhbar Independent UK kelmarin.

Mahkamah India menolak saman difailkan oleh Burger King Corporation yang mendakwa berlakunya pelanggaran tanda dagangan oleh restoran Burger King di bandar Pune, negeri Maharashtra.

Menurut mahkamah, restoran Burger King di Pune telah beroperasi sejak 1992, bertahun-tahun sebelum jenama multinasional tersebut mula menjalankan perniagaan di negara itu.

Burger King Corporation diasaskan pada 1953 sebagai Insta-Burger King dan dinamakan semula sebagai Burger King pada 1959. 

Ia memasuki pasaran India pada November 2014 dengan membuka cawangan pertamanya di  Delhi, sebelum membuka cawangan di Pune pada tahun berikutnya.

Syarikat itu berkata, mereka menghantar notis  pada 2009 selepas mengetahui pasangan Anahita Irani dan Shapoor Irani menggunakan nama Burger King untuk restoran mereka.

Pasangan tersebut berhujah bahawa syarikat itu tidak boleh menuntut sebarang hak undang-undang kerana tiada restoran Burger King beroperasi di India pada masa restoran mereka dibuka.

Burger King Corporation memfailkan tuntutan mahkamah pada 2011 dengan mendakwa bahawa nama restoran Pune itu melanggar tanda dagangannya. Ia juga meminta ganti rugi.

Defendan berhujah bahawa logo mereka berbeza dan ia menghalang sesiapa daripada terkeliru antara dua restoran Burger King tersebut.

“Justeru, dengan ketiadaan bukti yang kukuh, saya mendapati bahawa plaintif tidak berhak untuk mendapatkan ganti rugi, penyerahan akaun dan pelepasan injunksi kekal,” kata Hakim Daerah, Sunil Vedpathak dalam penghakimannya. – AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *