JAKARTA – Penduduk Ngawi, wilayah Jawa Timur digemparkan dengan bunyi dentuman misteri yang disifatkan amat kuat sehingga mencetuskan gegaran pada barangan kaca, lapor laman berita Detik.
Bunyi dentuman itu didengari pada Khamis minggu lalu.
Menurut penduduk, dentuman itu berbunyi dua kali dan ia menyebabkan beberapa barangan bergegar.
“Informasi suara dentuman di sebelah timur. Apakah itu? Seperti petir tetapi tidak mendung,” kata hantaran yang dimuat naik di laman Facebook.
Hantaran itu menjadi perhatian pengguna media sosial dengan ramai yang berkongsikan bahawa mereka mendengar bunyi serupa.
“Bunyi apakah itu sehinggakan bergegar,” kata seorang netizen.
“Ia bukan sekadar bunyi, malah ada gegaran,” kata pengguna media sosial lain.
Mengulas mengenai kejadian itu, Timbalan Ketua Penerangan Pangkalan Tentera Udara Iswahjudi, Leftenan Muda Sus Lela berkata, letupan berlaku pada waktu siang.
“Unit 60 Depohar sedang menjalankan ujian fungsi bahan letupan, lokasinya di Sasar Menembak Depohar 60,” katanya.
Beliau turut menegaskan kejadian itu tiada kaitan dengan latihan pesawat, seperti yang disebarkan netizen.
“Bukan supersonik, okay? Orang ramai tidak perlu panik,” katanya. – AGENSI