Bumbung tercabut selepas lima minit dilanda ribut – Penduduk

WhatsApp Image 2025 04 14 at 6.47.00 AM

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (tiga dari kiri) mengunjung kediaman Rosnani (kanan) yang rosak akibat ribut di Kampung Pak Derus, Taiping semalam. – Foto WAT KAMAL ABAS

BUKIT GANTANG – Seorang penduduk di Kampung Pak Derus di Taiping menyifatkan kejadian ribut di kawasan itu petang semalam sebagai yang pertama melanda dalam tempoh 32 tahun.

Rosnani Che Meh, 52, berkata, dia yang ketika itu berada di rumah bersama cucunya menyaksikan sendiri bumbung kediamannya itu tercabut akibat angin kencang.

“Pada mulanya saya mendengar angin kencang sebelum bumbung rumah bergegar akibat daripadanya. Tak sampai lima minit ia sudah tercabut.

“Saya yang ketakutan mendukung cucu berusia empat bulan dengan erat namun tak dapat keluar dari rumah kerana angin kencang masih bertiup di luar,”katanya kepada pemberita di sini semalam.

Dia merupakan antara penduduk yang terjejas di Taiping akibat ribut yang melanda kira-kira pukul 4 petang semalam, dengan kawasan dikenal pasti mengalami fenomena sama ialah Taman Damai, Taman Ria serta Taman Kaya.

Seorang lagi penduduk kampung tersebut, Hayati Mohamad, 49, pula berkata, dia menyaksikan sendiri bumbung rumah jirannya tercabut akibat daripada ribut berkenaan.

Katanya, dia segera menjerit memanggil ayahnya supaya keluar dari dalam bilik namun gagal berbuat demikian kerana angin kencang menyebabkan pintu bilik tidak dapat dibuka akibat tekanan.- https://amiminerals.org/