JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan keadaan laluan pendakian sebuah gunung di Blitar, wilayah Jawa Timur sesak dengan pengunjung sehingga menyukarkan pergerakan, lapor laman berita Detik hari ini.
Kejadian berlaku di Gunung Kelud, yang terkenal dalam kalangan pendaki.
Ia berpunca daripada cuti hujung minggu yang panjang bersempena sambutan Maulidur Rasul.
Berdasarkan video yang dikongsikan di platform TikTok, pendaki dilihat beratur untuk naik ke puncak dan dalam masa sama, pendaki yang sedang turun turut menggunakan laluan sama.
“Sudah seperti beratur untuk mengambil bantuan barangan dapur,” kata keterangan video tersebut.
Menurut seorang pendaki yang dikenali sebagai Ika, ketika dia memulakan pendakian sekitar pukul 6.15 pagi (waktu tempatan) kelmarin, jumlah pengunjung sudah ramai
“Selepas sampai ke kem keempat, bilangan pendaki semakin ramai, sehinggalah ke puncak gunung. Sudah ramai pendaki lain beratur untuk naik ke atas,” katanya. – AGENSI