JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Pekalongan, wilayah Jawa Tengah digemparkan dengan kemunculan air misteri tanpa punca yang dianggap sebagai air penawar, lapor laman berita Lambe Turah hari ini.
Menurut penduduk Kampung Rowoyoso, air yang memancut kuat itu mula ditemukan sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) hari ini.
Mereka berkata, ia dianggap kejadian luar biasa kerana tiada sumber mata air di kawasan sekitarnya.
Susulan penemuan itu, orang ramai berpusu-pusu datang ke lokasi tersebut untuk menadah air yang dipercayai mujarab untuk mengubati penyakit.
Seorang penduduk kampung bersebelahan berkata, dia datang ke situ pada pukul 8 pagi (waktu tempatan) untuk mengambil air bagi mengubati kesakitan pada kakinya.
“Selepas minum air itu, kaki saya terus sembuh. Saya kemudian pergi lagi untuk mengambil air yang banyak,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Air Daerah (PDAM) menghantar pekerja untuk memeriksa keadaan tersebut dan mendapati, air itu berasal daripada paip yang bocor.
“Kami mengesahkan bahawa terdapat paip yang bocor. Apabila kami menutup paip utama, air itu berhenti,” kata Ketua Unit PDAM Wonokerto, daerah Pekalongan, Misran. – AGENSI