Budak hilang selepas menari tarian tradisional Thai

budak hilang

A ditemukan selepas beberapa jam pencarian. – Thaiger

BANGKOK – Seorang kanak-kanak lelaki di wilayah Lop Buri hilang secara misteri ketika membuat persembahan tarian klasik Thai sebelum ditemukan dalam keadaan keliru beberapa jam kemudian, lapor laman berita Thaiger.

Kanak-kanak dikenali sebagai A itu dilaporkan sedang bermain dengan rakan-rakannya pada 25 Mac lalu.

Menurut rakannya, Jazz, ketika mereka bermain, A secara tiba-tiba membuat persembahan tarian tradisional Thai dengan penuh bersemangat.

Tambahnya, mereka tidak pernah melihat A menari seumpama itu dan berasa ketakutan melihat sikapnya yang aneh.

Mereka kemudian dikatakan bertengkar sebelum A hilang tanpa disedari.

Selepas gagal dikesan, mereka membuat laporan polis sekitar pukul 11.45 pagi (waktu tempatan) sebelum usaha mencari dan menyelamat dimulakan.

Pihak berkuasa mencari kanak-kanak itu di pelbagai lokasi termasuk hutan dan bukit, namun dia gagal ditemukan.

Pada  pukul 3 petang (waktu tempatan), A ditemukan dalam keadaan terpinga-pinga di sebuah kawasan belukar dekat rumahnya.

Menurut pihak berkuasa, mereka telah mencari A di kawasan itu sebelumnya, justeru mereka kehairanan bagaimana dia tidak dapat dilihat ketika itu.

Tiada maklumat lanjut mengenai bagaimana A boleh hilang disebabkan kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan keliru ketika ditemukan. – AGENSI