LONDON – Kebergantungan selama 142 tahun Britain kepada pembakaran arang batu untuk menghasilkan elektrik berakhir semalam, lapor Perbadanan Penyiaran Britain(BBC).
Stesen janakuasa arang batu terakhir di Ratcliffe-on-Soar, England itu menamatkan operasinya semalam selepas beroperasi sejak 1967.
Pengakhiran itu menandakan peristiwa penting dalam cita-cita Britain untuk mengurangkan sumbangannya kepada perubahan iklim dunia.
Arang batu adalah bahan api fosil paling kotor yang menghasilkan paling banyak gas rumah hijau apabila ia dibakar.
Menteri Tenaga Britain, Michael Shanks berkata: “Kami berhutang budi kepada generasi (terdahulu) demi negara ini.”
Britain adalah tempat kelahiran ‘kuasa’ arang batu dan menjadi ekonomi utama pertama yang mengakhirinya.
Stesen janakuasa arang batu pertama dunia, Holborn Viaduct dibina pada 1882 di London oleh pencipta tersohor, Thomas Edison.
Ia menghasilkan tenaga elektrik dan membawa cahaya ke jalan-jalan di ibu negara Britain itu.
Sejak itu sehingga separuh pertama abad ke-20, arang batu membekalkan tenaga kepada hampir semua rumah dan perniagaan di Britain. – AGENSI