TOKYO – Presiden syarikat pengeluar motosikal Yamaha, Yoshihiro Hidaka cedera sebelah tangan selepas didakwa dikelar oleh anak perempuannya, Hana Hidaka di kediaman mereka di Jepun, lapor laman berita VN Express hari ini.
Polis menangkap Hana kerana disyaki cuba membunuh bapanya yang berusia 61 tahun itu. Dia dilaporkan menyerang mangsa dengan menggunakan pisau dapur sekitar pukul 3 pagi, Isnin lalu di kediaman mereka di Iwata, wilayah Shizuoka, demikian menurut akhbar The Japan Times.
Polis tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada Hana yang mendakwa dia dipukul oleh bapanya.
Menurut polis, Hana membuat satu lagi panggilan pada pukul 5.30 petang hari sebelumnya, menyebabkan polis pergi ke rumah tersebut selepas itu.
“Yoshihiro mengalami luka kecil pada tangan kirinya,” kata polis seperti laporan laman berita tempatan, Tokyo Reporter.
Dalam pada itu, Yamaha Motor enggan mengulas kes tersebut kerana ia bersifat peribadi dan polis juga masih melakukan siasatan.
Diasaskan pada 1955, syarikat berpangkalan di Iwata itu membina pelbagai jenis produk berenjin termasuk motosikal, bot dan kenderaan air lain, demikian menurut laman web Yamaha. – AGENSI