SANTIAGO – Seorang anggota bomba di Valparaiso, Chile ditahan selepas didakwa memulakan kebakaran maut semata-mata untuk memadamkannya demi menjadi ‘wira’, lapor akhbar Metro UK semalam.
Elías Antonio Salazar, 39, didakwa sengaja memulakan siri kebakaran hutan di Chile yang mengorbankan kira-kira 137 nyawa dan memusnahkan 2,000 rumah pada Februari lalu.
Tindakan itu sekali gus mencetuskan keadaan yang disifatkan sebagai ‘malapetaka’ di wilayah berkenaan.
Salazar merupakan orang ketiga yang ditahan berhubung kejadian itu, manakala dua lagi ditahan pada Mei lalu.
Dua suspek itu dikenali sebagai Ignacio Mondaca yang merupakan rakan sekerja Salazar dan seorang lagi adalah pekerja di agensi hutan negara.
Ketiga-tiganya didakwa mencetuskan kebakaran dengan melemparkan rokok yang dinyalakan dari kereta ke tumbuh-tumbuhan kering. Ia dilakukan di sekurang-kurangnya tiga tempat berbeza di sekitar Viña del Mar, ketika kemuncak gelombang haba rekod awal tahun ini.
Penahanan Salazar pada Isnin lalu menyebabkan dia dipecat daripadanya jawatannya di Senapred.
Seorang detektif kanan, Guillermo Gálvez berkata, motif utama Salazar adalah dia suka ‘menyertai dan menjadi wira serta membantu apabila kecemasan berlaku’. – AGENSI