Bolehkah makanan diwakafkan?

d4a10002 0bd0 441a a0fd 9e2143748e0b 2019 0405 caramelized cream eggs genius recipes 3x2 ty mecham 001ss e1724228674537

MAKANAN tidak boleh diwakafkan kerana manfaatnya tidak bersifat berterusan.– Gambar hiasan

Adakah dibolehkan untuk kita wakaf makanan? Contohnya, saya hendak anjurkan program bantuan makanan untuk golongan yang memerlukan dan saya akan buat iklan ‘Wakaf Makanan’ untuk minta sumbangan orang ramai. Mohon pencerahan.

Jawapan: Perkara utama dalam merungkai persoalan yang ditanyakan ini adalah dengan memahami maksud wakaf itu sendiri.

Wakaf bermaksud menahan hak pewakaf untuk melakukan urusan jual beli, pewarisan dan sebagainya ke atas harta yang boleh dimanfaatkan dengan mengekalkan sifat fizikal harta itu, untuk mendekatkan diri kepada Allah. (Rujuk Musnad al-Syafie 138/2[1]; Mughni al-Muhtaj 522/3[2]; Kifayah al-Nabih fi Syarh al-Tanbih 3/12[3])

Kebiasaannya, perkara yang boleh diwakafkan adalah harta yang boleh memberi manfaat yang berterusan sama ada harta tidak alih (‘aqar) seperti tanah, bangunan, telaga dan seumpamanya atau harta alih (manqul) seperti kereta, haiwan tunggangan, pinggan mangkuk dan sebagainya. (Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 607/3)

Para ulama menyatakan bahawa wakaf adalah sedekah jariah. Ganjaran bagi orang yang berwakaf akan mengalir berterusan selagi harta diwakafkan itu wujud dan boleh diambil manfaat daripadanya.

Contohnya, seseorang mewakafkan RM100 untuk pembinaan surau/masjid, selagi surau/masjid itu masih wujud, maka selagi itulah dia akan mendapat pahala. (Rujuk Asna al-Matalib 457/2[5])

Perkara ini juga dapat dilihat melalui sabda Rasulullah SAW berikut: “Apabila seseorang itu mati, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmunya yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya. (Riwayat Muslim 631)

Manakala dalam konteks persoalan yang diajukan ini dilihat lebih sesuai dengan konsep sedekah.

Ini kerana, apabila kita memberikan makanan atau wang untuk membeli makanan, kemudian setelah makanan itu habis dimakan, maka pahala hanya setakat itu sahaja kerana manfaatnya hanya sekali. Berbeza dengan wakaf, pahala yang diperoleh daripada wakaf akan berterusan kerana manfaatnya dapat digunakan berulang kali dan berterusan.

Tambahan lagi, para ulama mazhab Syafi’i turut menyatakan bahawa makanan tidak boleh diwakafkan.

Ini kerana, manfaat yang boleh digunakan daripada makanan tidak bersifat berterusan dan akan habis dengan cepat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *