Bilionair Morgan Stanley hilang selepas kapal layar karam

kapal karam

Kapal Bayesian hilang di luar pantai Pulau Sicily, Itali. – EPA-EFE

PALERMO, ITALI – Taikun teknologi Britain, Mike Lynch dan anak perempuannya berusia 18 tahun, adalah antara enam orang yang hilang selepas sebuah kapal layar mewah karam di luar pantai Pulau Sicily, Itali awal pagi semalam.

Turut dilaporkan hilang ialah Pengerusi Morgan Stanley International, Jonathan Bloomer dan seorang peguam di firma guaman terkemuka Britain.

Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan, kapal sepanjang 56 meter itu membawa 22 orang termasuk warga Britain, Amerika Syarikat dan Kanada. 

Lima belas orang telah diselamatkan termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun, manakala pihak berkuasa meneruskan pencarian mereka sehingga malam.

Media tempatan melaporkan, kapal layar bernama Bayesian itu terbalik pada kira-kira pukul 5.00 pagi (waktu tempatan) selepas dilanda ribut kuat semalaman. Ia mencetuskan fenomena belalai air (waterspout).

Lynch yang dikenali oleh sesetengah pihak sebagai ‘Bill Gates British’, mengasaskan syarikat perisian Autonomy, yang kemudiannya dibeli oleh gergasi teknologi, Hewlett-Packard dengan harga £8.6 bilion (RM48.8 bilion).

Saksi memberitahu agensi berita Itali, Ansa bahawa sauh kapal Bayesian terputus ketika ribut melanda, menyebabkan tiang kapal itu patah sebelum ia hilang keseimbangan dan tenggelam di luar pantai kampung Porticello. Ia terletak berhampiran ibu kota Sicily, Palermo.

Penyelam telah mengenal pasti serpihan kapal pada lokasi 50 meter di bawah permukaan air, manakala kerja-kerja mencari mangsa yang hilang diteruskan.

Mayat seorang lelaki ditemui di luar serpihan kapal, namun warganegaranya belum disahkan. – AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *