Bidan ambil bayi, ibu bapa tak mampu bayar kos bersalin 

geli bidan

Tangkap layar menunjukkan Sumyati menangis teresak-esak selepas anaknya ditahan di rumah bidan. – Instagram

JAKARTA – Sepasang suami isteri di Bekasi, wilayah Jawa Barat terpaksa meninggalkan bayi yang baru dilahirkan di rumah seorang bidan kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk membuat pembayaran, lapor portal berita Abatanews semalam.

Rakaman kejadian yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @undercover.id, menunjukkan seorang bayi perempuan bersama ibunya dikenali sebagai Sumyati berada di atas katil. 

Sumyati menangis teresak-esak selepas tidak dibenarkan membawa anaknya pulang ke rumah. 

Menurut pasangan itu, mereka tidak mempunyai pilihan selain bersalin melalui bidan kerana kosnya jauh lebih murah berbanding hospital biasa. 

 Namun, impian pasangan itu untuk menjadi ibu bapa terbantut kerana tidak mampu membayar kos bersalin berjumlah 2.5 juta rupiah (RM704). 

Rakaman itu menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen. 

“Si suami buat apa sepanjang sembilan bulan! Seharusnya sudah ada duit simpanan!” marah seorang netizen. 

“’Buat’ anak pandai, bila nak bayar tak boleh? Jangan nak sedap sahaja!” marah netizen lain. – AGENSI