PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio percaya penyerang sensasi pasukan, Bergson Da Silva boleh menjadi aset Harimau Malaya jika dinaturalisasikan sebagai pemain tempatan pada tahun depan.
Sebagai rekod, Bergson telah bersama Harimau Selatan sejak 2021 dan berjaya menjaringkan 130 gol sepanjang tempoh tersebut sehingga dianggap antara pemain import terbaik Liga Malaysia sepanjang zaman.
Menurut Bidoglio, sekiranya hasrat untuk memberi taraf kerakyatan tempatan buat penyerang kelahiran Brazil itu menjadi realiti, sudah tentu ia mampu meningkatkan mutu bola sepak skuad kebangsaan.
“Kita tahu Bergson adalah pemain yang berkualiti, sudah tentu dia boleh membantu pasukan negara dengan skil yang dimilikinya.
“Saya yakin dia akan menjadi aset penting buat Harimau Malaya dan tidak mempunyai masalah untuk menyerlah dalam arena bola sepak antarabangsa,”katanya selepas tamat perlawanan Piala Malaysia kelmarin.
Pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, JDT melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas KL City dengan Bergson menyumbangkan satu gol dalam aksi tersebut.
Awal minggu ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpendapat Bergson yang kini berusia 33 tahun dan pemain JDT yang dipinjamkan ke Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo berpotensi untuk dinaturalisasikan.
Harimau Malaya kini dalam fasa penstrukturan semula dengan perubahan daripada barisan kejurulatihan akan diumumkan dalam masa terdekat bagi mengharungi kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac depan.
Sebagai rekod, Malaysia pernah memiliki beberapa pemain naturalisasi seperti Endrick dos Santos, Paulo Josue, Sergio Aguero, Mohamadou Sumareh, Lee Tuck, Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi.