SEOUL – Sebiji belon sampah Korea Utara jatuh di pekarangan pejabat Presiden di Seoul hari ini, kata pihak berkuasa, manakala media tempatan melaporkan, ia berisi risalah propaganda menyindir Presiden Yoon Suk-yeol dan isterinya,
Korea Utara ‘menyerang’ Korea Selatan dengan belon sampah sejak Mei lepas.
“Sebiji belon Korea Utara meletup di ruang udara, manakala sampah dan serpihan bertaburan di kawasan pejabat Yongsan awal pagi ini,” kata Perkhidmatan Keselamatan Presiden dalam satu kenyataan kepada AFP, merujuk kepada pekarangan Presiden.
Menurutnya, pemeriksaan keselamatan mengesahkan belon itu tidak mendatangkan risiko atau pencemaran berbahaya.
Ini kali kedua belon sampah mengenai pejabat pemimpin Korea Selatan itu di pusat bandar Seoul selepas insiden pertama Julai lalu. Lokasi itu dilindungi oleh berpuluh-puluh askar dan merupakan zon larangan terbang.
Akhbar tempatan, Chosun Daily melaporkan, risalah yang ditemui termasuk gambar pasangan tersebut bersama ungkapan: “Nasib baik Presiden Yoon dan isterinya tidak mempunyai anak” dan “Korea Selatan adalah Negara Keon Hee.”
Wanita Pertama Korea Selatan, Kim Keon-hee didakwa terlibat memanipulasi saham dan campur tangan dalam pemilihan calon Parti Kuasa Rakyat menjelang pilihan raya umum April lepas. – AFP