Bella Astillah nafi guna konten anak raih simpati

WhatsApp Image 2024 12 12 at 8.48.45 AM e1733967512712

SEDAR kerap dikecam, Bella enggan dirinya hanyut dengan segala komen negatif dan meneruskan kerjaya mencari rezeki untuk anak-anak./AFIQ RAZALI

PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi Bella Astillah menafikan dakwaan sengaja menjaja kisah sedih hidupnya untuk meraih simpati dan mendapat tempat dalam industri seni ketika ini.

Tidak melenting, pemilik nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, berkata, dia tidak pernah menjual kisah peribadi sebaliknya menganggap semua yang diterimanya hari ini sebagai satu bentuk rezeki.

“Saya tidak tahu bila masa saya menjual cerita sedih, rasanya tidak ada. Cuma kadang-kala bila terlalu sibuk dengan kerja adalah saya luahkan rasa rindu kepada anak-anak, bukan cerita sedih.

“Setakat ini, alhamdulillah saya gembira bersama keluarga dan kehidupan saya juga semakin baik. Saya juga sibuk cari rezeki untuk anak-anak, fokus saya ketika ini adalah kerja,”katanya yang ditemui pada pelancaran lagu duet bersama Nabila Razali berjudul CACACA di sini, baru-baru ini.

Ujarnya, setiap perkongsian berkaitan anak yang dimuat naik sebelum ini adalah rakaman daripada pihak lain dan berpendapat setiap individu layak membuat penilaian sendiri.

“Cuma ada ketikanya konten bersama anak-anak yang saya muat naik dalam laman sosial adalah rakaman daripada orang lain yang saya kongsikan semula.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa yang nak komen negatif kerana terpulang kepada tanggapan masing-masing,”katanya lagi.

Kerap menjadi mangsa kecaman ramai, Bella menerima segala komen dengan hati terbuka dan menganggapnya sebagai pengajaran untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik.

“Setiap orang ada tanggapan masing-masing, saya tak salahkan sesiapa.

“Saya jadikan komen negatif itu sebagai pembakar semangat dan yang positif buatkan saya lebih bersemangat untuk jadi yang lebih baik pada masa akan datang,”ujarnya. – https://amiminerals.org/