WASHINGTON – Suruhanjaya Daerah Macon-Bibb di Amerika Syarikat (AS) meluluskan rancangan untuk meletupkan sebuah hotel 16 tingkat yang tidak berpenghuni pada tengah sambutan Tahun Baru 2025, lapor portal berita My North West.
Pentadbiran Daerah Macon-Bibb membelanjakan AS$4.5 juta (RM17.85 juta) tahun lepas untuk membeli hotel itu dalam prosiding kebankrapan persekutuan.
Daerah itu bersetuju mengupah sebuah firma perobohan untuk meletupkan bangunan itu yang sebelum ini dikenali sebaga Plaza Ramada dengan bayaran AS$2.6 juta (RM11.60 juta), lapor akhbar tempatan.
“Kami membeli hartanah ini untuk meletupkannya,”kata Datuk Bandar Macon, Lester Miller kepada saluran televisyen WMAZ-TV.
Hotel itu dibuka pada tahun 1970 dan antara tetamunya termasuk legenda rock n roll, Elvis Presley tetapi ia tidak pernah berjaya dari segi kewangan.
Paling ketara, Jabatan Perbankan New York merampas hotel itu pada tahun 1991 selepas ia terlibat dalam skim penipuan dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Bank of Credit and Commerce International.
Bank itu dituduh membantu Presiden Iraq ketika itu, Saddam Hussein menyembunyikan keuntungan minyak negaranya dan menyokong perjanjian senjata dengan Iran. – AGENSI