PUTRAJAYA – Kerajaan akan memberikan tumpuan khusus dalam usaha menangani kos sara hidup rakyat menerusi Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu adalah isu yang menjadi kebimbangan rakyat walaupun pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan demi memperbetulkan semula ekonomi negara ke landasan betul.
Beliau berkata, dalam hal itu, kerajaan akan mencari punca-punca kepada peningkatan harga barang di samping menangani masalah kartel dan monopoli pihak-pihak tertentu yang menguasai pasaran barangan keperluan asas termasuk menentukan kos-kos input pertanian.
“Satu hal yang sangat memprihatinkan adalah soal kebimbangan rakyat kerana masih berdepan dengan harga, kos sara hidup yang meningkat, saya tidak nafikan.
“Walaupun saya boleh sebut gula, minyak, tepung, minyak masak kita paling murah tapi bagi rakyat Malaysia masih merasa beban, dia (rakyat) tidak banding Thailand, Singapura, Indonesia.
“Jadi, sebab itu dalam belanjawan ini kita juga harus tangani masalah kartel, monopoli, apa punca harga barang (naik), kadang-kadang dari segi baja, benih, semua ini harus kita tangani,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kementerian Kewangan selaku perancang utama Belanjawan Negara harus memikirkan isu-isu yang merentasi kementerian lain agar intipati yang digariskan bersifat menyeluruh dan menyentuh semua aspek permasalahan rakyat. – Iteenews