Bayi tak henti menangis, wanita ditengking penumpang pesawat

geli pesawat

Tangkap layar menunjukkan lelaki tersebut mengamuk di dalam pesawat. – TikTok

DUBAI – Perbuatan seorang penumpang yang mengamuk dan memarahi seorang wanita kerana membawa bayinya menaiki pesawat mengundang kecaman orang ramai, lapor akhbar Metro UK. 

Kejadian berlaku dalam penerbangan Qatar Airways dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu ke Manchester, United Kingdom pada 7 November lalu. 

Rakaman video yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @peachybykiki menunjukkan wanita tersebut dimalukan dan ditengking di khalayak ramai. 

“Anda sangat mementingkan diri sendiri. Budak itu tidak sepatutnya berada di dalam pesawat!” marah penumpang lelaki itu dalam video. 

Menurut perakam, Nikita Mason, penumpang tersebut mula bertengkar selepas anak perempuannya yang berusia setahun menangis di dalam pesawat. 

“Anak perempuan saya menangis beberapa kali kerana sedang tumbuh gigi.

“Dia (lelaki berkenaan) meminta untuk dipindahkan tetapi kru kabin tidak boleh berbuat apa-apa,” tambahnya. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 1.9 tontonan dan menimbulkan kemarahan ramai netizen. 

“Bayangkan lelaki itu ialah bapa anda. Ia sangat memalukan,” sindir seorang netizen. – AGENSI