Bayar guna tapak tangan sahaja di kedai

Geli pakis

PESOHOR Pakistan berkongsi video seorang lelaki menggunakan tapak tangan untuk membuat pembayaran. – Foto Rana Hamza Saif/Instagram

BEIJING  –  Seorang pesohor media sosial Pakistan berkongsi rakaman video dari kota  Zhuzhou, China yang melaksanakan sistem pembayaran canggih dengan hanya menunjukkan tapak tangan, lapor portal berita India Today semalam.

Video tular itu menunjukkan Rana Hamza Saif dan rakan-rakannya mengunjungi sebuah kedai runcit tempatan.

Namun, salah seorang daripada mereka membayar barangan yang dibeli dengan menggunakan tapak tangan.

Dalam video itu, Saif berkata, sesiapa sahaja yang tapak tangannya didaftarkan pada sistem itu boleh membuat pembayaran di seluruh China.

“Di sini (China) tiada siapa membawa dompet atau wang tunai kerana orang ramai telah mendaftarkan tapak tangan mereka dengan sistem pembayaran tapak tangan. 

“Jadi, apa yang berlaku  ialah apabila anda membeli barangan  di kedai, harga akan ditolak daripada kad yang dipautkan pada tapak tangan anda sebaik sahaja anda meletakkan tapak tangan pada alat pengimbas,”kata Saif dalam videonya.

“China hidup dalam tahun 2050,” tambahnya. 

Teknologi pembayaran itu ialah inovasi biometrik yang mengenal pasti identiti pengguna melalui corak unik dalam cetakan tapak tangan dan urat mereka. 

Setelah disahkan, sistem secara automatik mengecaj kad pembayaran yang dipautkan sekali gus bermakna anda tidak boleh menggunakan kad palsu atau dicuri. – AGENSI