Bashar dan keluarga tiba di Moscow

bashar tiba di moscow scaled

Gambar fail menunjukkan Bashar al-Assad berucap di sebelah isterinya semasa menyambut Hari Ibu di Damsyik pada 21 Mac 2016. – AFP

MOSCOW – Bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad bersama keluarganya tiba di Moscow selepas diberikan suaka atas dasar kemanusiaan oleh Russia, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam. 

“Bashar dan keluarga telah tiba di Moscow. Mereka diberikan suaka atas dasar kemanusiaan,” demikian menurut agensi berita Russia yang memetik sumber Kremlin. 

Laporan itu menamatkan spekulasi keberadaan Bashar selepas beliau meninggalkan Syria susulan kemaraan pemberontak yang menawan Damsyik. 

Kementerian Luar Russia sebelum ini mengumumkan bahawa Bashar ‘memutuskan untuk meletak jawatan dan meninggalkan Syria selain meminta supaya pelan peralihan kuasa berlaku secara aman’. 

Russia yang mempunyai dua pangkalan tentera utama di Syria, merupakan penyokong tegar Bashar semasa perang saudara selama 13 tahun untuk mengekalkan kuasa keluarga al-Assad dan kabilah Syiah Alawiyah. 

Pemerintahan Bashar tumbang selepas beliau menghadapi serangan pemberontak yang mengambil kesempatan daripada kelemahan sekutu Damsyik iaitu Iran dan kumpulan Hezbollah. 

Selepas pemberontak menawan Damsyik tanpa tentangan kelmarin, kumpulan penentang dikaitkan dengan al-Qaeda iaitu Hayat Tahrir al-Sham (HTS) dan sekutunya mengisytiharkan ‘Bashar al-Assad yang zalim telah melarikan diri’. 

Ketua Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Rami Abdul Rahman berkata, pesawat membawa Bashar ‘meninggalkan Syria melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik’.

“Penerbangan itu dijadualkan berlepas sekitar pukul 10 malam (waktu tempatan) pada hari Sabtu,” kata Rami. 

Agensi berita Reuters pula memetik dua pegawai kanan tentera Syria berkata, Bashar menaiki penerbangan Syrian Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik awal kelmarin.

“Pesawat terakhir meninggalkan Damsyik adalah kapal terbang Illyushin II-76-T. Ia berlepas sekitar pukul 3.59 pagi (waktu tempatan) menuju destinasi yang tidak didedahkan,” tambahnya. – AGENSI