BANGKOK – Sebuah bas membawa 44 pelajar dan beberapa guru untuk lawatan sekolah terbakar hari ini, kata pihak berkuasa dengan sehingga 25 orang dikhuatiri terkorban.
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra berkata, terdapat kematian dalam kemalangan itu dan beliau mengucapkan takziah kepada waris mangsa.
Menteri Pengangkutan, Suriya Jungrungreangkit pula memberitahu, angka korban masih belum jelas tetapi berkata, 25 orang tidak selamat selepas api berjaya dipadamkan.
“Laporan awal menyebut terdapat 44 orang di dalam bas iaitu 38 pelajar dan enam guru. Setakat yang kami tahu buat masa ini, tiga pelajar dan 16 guru berjaya keluar dari bas berkenaan.
“Kami tidak pasti tentang nasib baki mangsa yang hilang,” katanya.
Bas itu membawa pelajar dari wilayah Uthai Thani apabila sebiji tayarnya meletup di sebuah lebuh raya, pinggir utara Bangkok, menyebabkan kenderaan itu melanggar penghadang lebuh raya, kata seorang pekerja penyelamat.
“Bas ini dijana bahan api gas, manakala kemalangan menyebabkan kenderaan ini terbakar,” katanya.
“Saya mendapat berita tentang kebakaran pada sebuah bas yang membawa pelajar dari Uthai Thani, menyebabkan berlakunya kematian dan kecederaan.
“Saya sendiri sebagai seorang ibu ingin mengucapkan sedalam-dalam takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan cedera,” kata Paetongtarn pula dalam satu kenyataan di platform X hari ini. – AFP