BANGKOK – Sebuah kem tentera di wilayah Lopburi menjadi perhatian pengguna media sosial selepas dua anggotanya didakwa dikenakan hukuman berat ketika latihan sehingga mereka dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), lapor laman berita Thaiger semalam.
Bekas calon ahli parlimen daripada Parti Move Forward, Nichanan Wangkahat menerima aduan daripada seorang individu yang prihatin dalam kem itu.
Kejadian itu dilaporkan berlaku malam kelmarin.
Menurut individu berkenaan, dua anggota tentera tersebut dimasukkan ke ICU selepas dihukum sehingga lewat malam.
Namun sejurus mereka keluar dari ICU, mereka tidak dibenarkan berehat dan terus berlatih.
“Tolong siasat perkara ini. Dua askar muda ini baru keluar dari ICU pada pukul 5 pagi (waktu tempatan) hari ini (semalam) dan tidak dibenarkan berehat.
“Mereka diarahkan terus bekerja. Sampai bila hukuman kejam seperti ini akan berakhir?” kata individu yang merahsiakan identitinya itu.
Tambah individu berkenaan, salah seorang anggota tentera itu diheret di atas lantai konkrit.
Susulan kejadian itu juga, ahli keluarga askar-askar itu dikatakan tidak dapat menghubungi mereka sekali gus menimbulkan syak wasangka bahawa telefon bimbit mereka mungkin telah dirampas.
Keluarga kedua-dua anggota tersebut dilaporkan amat bimbang. Justeru, mereka meminta pegawai pemerintah untuk menyiasat dan memastikan keselamatan dua anggota itu serta memberikan penjelasan yang jelas tentang kejadian tersebut. – AGENSI