MADRID – Barcelona meneruskan misi memburu gelaran trebel apabila berjaya melangkah ke pentas final Piala Raja Sepanyol selepas menyingkirkan Atletico Madrid di pusingan separuh akhir.
Pada aksi timbal balik di Stadium Wanda Metropolitano awal pagi semalam, Barcelona mencatat kemenangan tipis 1-0 menerusi jaringan Ferran Torres, sekali gus mara dengan keputusan agregat 5-4.
Jurulatih Barcelona, Hansi Flick berkata, anak-anak buahnya menampilkan aksi cukup baik memandangkan tidak banyak pasukan mampu melakukannya ketika berdepan Atletico di laman mereka sendiri.
“Kami bertahan cukup baik sepanjang perlawanan hari ini (semalam) dan semua pemain wajar berasa bangga. Atletico adalah pasukan yang sangat baik tetapi kami sudah menunjukkan peningkatan sebagai sebuah pasukan.
“Kami berhak untuk memasang impian (trebel) tetapi kami perlu kekal fokus terhadap satu demi satu perlawanan. Buat masa ini, saya sangat berpuas hati dengan apa yang ditampilkan semua pemain,”katanya.
Kemenangan itu akan menyaksikan Barcelona membuat perhitungan menentang musuh tradisi, Real Madrid pada perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di Stadium Olimpik Sevilla 26 April nanti.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai perlawanan akhir buat masa ini kerana kami ada aksi penting menentang (Real) Betis nanti. Bagaimanapun, saya gembira kami dapat bermain dalam satu lagi aksi El Clasico,”ujar Flick. – AGENSI