Bapa pasang CCTV di kepala anak pantau keselamatan

gadis dipasang CCTV

Tangkap layar menunjukkan gadis itu ditemu bual sambil memakai kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di kepalanya. – X

ISLAMABAD – Seorang lelaki di Pakistan mengundang kecaman orang ramai selepas memaksa anak perempuannya untuk memakai kamera sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di kepala kerana bimbang akan keselamatannya, lapor portal berita Oddity Central semalam. 

Rakaman yang dimuat naik di platform X oleh akaun @ikpsgill1 memaparkan wanita itu sedang ditemu bual sambil memakai kamera tersebut di atas kepala. 

Menurutnya, idea tersebut datang daripada bapanya yang diilhamkan daripada kematian seorang gadis di Karachi. 

“Saya diberitahu bahawa kamera itu adalah pengawal keselamatan peribadi. Ia dapat membantu (bapa) untuk memantau dengan lebih senang, menyebabkan saya bersetuju untuk memakainya. 

“Saya tidak menentang dengan perkara itu kerana ibu bapa saya bimbang dengan keselamatan saya,” kata gadis tersebut.

Tambahnya, ancaman keganasan terhadap wanita di Karachi adalah tinggi dan keluarganya mempunyai alasan kukuh untuk berasa bimbang. 

Bagaimanapun, masih belum jelas bagaimana CCTV itu dikuasakan dan diakses oleh bapanya. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 18,000 tontonan dan menimbulkan reaksi ramai netizen. 

“GoPro Pakistan,” sindir seorang netizen. 

“CCTV atau She-She TV,” kata netizen lain. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *