RIYADH – Bank Pusat Arab Saudi (SAMA) melarang semua bank tempatan menggunakan aplikasi penghantaran mesej segera seperti WhatsApp untuk berkomunikasi dengan pelanggan, lapor portal berita Gulf News semalam.
Larangan itu dibuat dengan alasan bimbang terhadap kebolehpercayaan dan risiko keselamatan pengguna.
Keputusan SAMA itu selari dengan pihak berkuasa kawal selia dan komitmennya untuk meningkatkan standard keselamatan institusi perbankan.
Bank-bank di Arab Saudi digesa menggunakan perkhidmatan alternatif yang lebih selamat ketika berkomunikasi dengan pelanggan.
Ia menyarankan perkhidmatan sembang secara langsung atau perkhidmnatan ChatBot digunakan oleh bank-bank tempatan.
Sementara itu, Jawatankuasa Media dan Kesedaran Bank Arab Saudi memberi amaran tentang peningkatan kes penipuan melibatkan penipu yang menyamar sebagai pertubuhan kebajikan dan tokoh awam untuk meminta derma palsu melalui media sosial serta aplikasi pemesejan. – AGENSI