Bangsawan Mestika Bumi kembali ke USM selepas 14 tahun

bangsawan11

TEATER yang dipentaskan kembali di USM mengisahkan tentang kehidupan Maharaja Darsa Alam, pemerintah Kerajaan Zamin Tauran.

GEORGE TOWN – Selepas 14 tahun, teater tradisi Bangsawan Mestika Bumi kembali dipentaskan semula di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini kelmarin.

Karya sentuhan Halimi Mohamed Noh yang juga merupakan bekas pensyarah Bahagian Lakonan dan Pengarahan Pusat Pengajian Seni USM itu diadaptasi daripada dua buah filem klasik iaitu Jula Juli Bintang Tiga dan Jula Juli Bintang Tujuh.

mugshot
MOHD. RADZI

Lebih menarik, pementasan yang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad itu direa­lisasikan menerusi kolaborasi antara Jabatan Kebudayaan dan Ke­senian Negara Pulau Pinang (JKKNPP), Penang Bay Art, ­Dewan Budaya dan Pusat Pengajian Seni USM.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKNPP, Mohd. Radzi Omar berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan sekali gus membuktikan industri teater semakin diminati ramai.

“Bagi saya persembahan yang dipertontonkan amat menarik dan ini menjadi salah satu perkembangan yang sangat positif.

“Apatah lagi, pementasan kali ini dilengkapi dengan pelbagai kesan visual teknologi kreatif dan digital, sudah tentunya memberi pengalaman baharu kepada para penonton.

“Diharapkan, teater seum­pama ini akan dirancakkan lagi sebagai salah satu hiburan bermanfaat khususnya buat masyarakat di negeri ini,” ­katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Datuk Dr. Narimah Samat.

teater
Bangsawan Mestika Bumi hasil adaptasi dua buah filem klasik, Jula Juli Bintang Tiga dan Jula Juli Bintang Tujuh.

Bangsawan Mestika Bumi mengisahkan tentang kehidupan Maharaja Darsa Alam yang ditabalkan sebagai pemerintah Kerajaan Zamin Tauran.

Konflik bermula apabila cincin simbol kekuasaan ba­ginda, Mestika Bumi tercicir di dalam tasik sewaktu cuba mengambil bola Yapola yang terjatuh.

Bagaimanapun, muncul seorang gadis jelita yang kelihatan seperti puteri memakai cincin terbabit dan kedua-dua mereka kemudian jatuh cinta.

Tuan puteri bersetuju untuk menjadi permaisuri dan mengembalikan cincin terbabit dengan tiga syarat, namun kon­flik timbul susulan janji diingkari Maharaja Darsa Alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *