DENPASAR – Bekalan elektrik terputus di seluruh Pulau Bali semalam dengan pelancong dan penduduk tempatan diberi amaran kemungkinan masa sehingga 36 jam diperlukan untuk bekalan pulih semula, lapor portal berita MailOnline.
Gangguan bekalan elektrik itu menjejaskan beribu-ribu rumah, premis perniagaan dan pusat peranginan di seluruh kawasan tumpuan pelancong sekitar pukul 4 petang (waktu tempatan).
Syarikat utiliti yang ditugaskan untuk memastikan tenaga elektrik ke Bali, PT.PLN berkata, pihaknya sedang menyiasat punca masalah tersebut.
Seorang jurucakap PT.PLN berkata, kabel dasar laut menghubungkan Denpasar ke tanah besar Indonesia telah terganggu tetapi mereka masih menyiasat perkara tersebut.
“Masalah ini masih disiasat,”kata jurucakap syarikat itu, Anom Silaparta seperti dilaporkan portal berita Detik Bali.
Kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan bekalan elektrik Bali adalah melalui kabel dasar laut i yang bersambung ke Pulau Jawa.
PLN sedang cuba menyelesaikan pemulihan sistem, manakala semua loji kuasa di seluruh Bali diputuskan sambungannya sebagai langkah keselamatan.
Dalam pada itu, Gabenor Bali, Wayan Koster berkata, pihak PLN Berjaya memulihkan kembali 50 peratus bekalan elektrik di wilayah itu. – AGENSI