Atlet Britain pecah rekod berlari rentas Australia dalam 35 hari

LARI

GOODGE memecahkan rekod dunia dengan berlari merentasi Australia dalam masa 35 hari. – WILLIAM GOODGE/YOUTUBE

SYDNEY – Seorang atlet Britain mengatakan bahawa dia mencatat rekod dunia baharu dengan  berlari merentasi Benua Australia dengan mencatatkan larian bersamaan  90 acara maraton dalam masa  35 hari.

William Goodge memulakan larian sejauh 3,860 kilometer  itu di Australia Barat pada 15 April lalu, merentasi padang pasir, tanah pertanian dan hutan sebelum menamatkan lariannya di Pantai Bondi yang terkenal di Sydney semalam.

Dengan purata dua setengah maraton setiap hari, pelari daya tahan kelahiran England itu memecahkan rekod sebelumnya iaitu 39 hari yang dicatatkan  pada  2023.

“Perasaan saya adalah seperti mimpi ngeri berulang yang tidak akan berakhir,” kata atlet  berusia 30 tahun itu kepada akhbar Sydney Morning Herald.

“Sembilan hari pertama sangat mencabar.

“Tetapi anda perlu memberitahu badan dan minda anda bahawa walaupun anda sedang bergelut, anda akan terus bertahan dan akan berjaya mengharungi cabaran ini,” tambahnya. 

Goodge  yang berlari merentasi Amerika Syarikat pada 2023, menggunakan kejayaannya untuk mengumpul wang bagi tujuan amal selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser pada 2018. – AFP