Askar wanita kibar bendera Indonesia akhirnya dibenar pakai tudung

bendera indonesia

SEORANG anggota Paskibraka mengibar bendera Indonesia menjelang sambutan Hari Kemerdekaan negara itu. – AFP

JAKARTA – Anggota tentera wanita daripada unit mengibarkan bendera Indonesia boleh memakai tudung semasa majlis sambutan Hari Kemerdekaan di ibu kota baharu, Nusantara pada 17 Ogos ini, jelas Sekretariat Presiden susulan kontroversi yang menyaksikan mereka tidak menutup aurat semasa membuat kemunculan pertama tahun ini.

Ketua Sekretariat Presiden, Heru Budi Hartono membuat kenyataan itu bagi meyakinkan orang ramai selepas Badan Pengembangan Ideologi Pancasila (BPIP) sebelum ini mengaku mengarahkan anggota pasukan pengibar bendera (Paskibraka) wanita menanggalkan tudung semasa bertugas.

Paskibraka adalah lembaga pemerintah yang bertugas melestarikan Pancasila iaitu  ideologi negara, serta pengembangan dan pelaksanaan ideologisnya.

Keputusan menyekat pemakaian tudung itu mendapat kritikan  orang ramai. Ini selepas mereka menyedari bahawa semua ahli Paskibraka yang berhijab tidak memakai  tudung semasa majlis pelantikan mereka, Selasa lalu.

Paskibraka ialah skuad elit  terdiri daripada remaja sekolah menengah yang dipilih dari seluruh Indonesia. Mereka bertugas mengiringi, menaikkan dan menurunkan bendera pusaka negara Indonesia atau penduanya semasa upacara Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos setiap tahun.

Menurut kumpulan alumni Paskibraka, terdapat 18 ahli berhijab dalam kumpulan sekarang.

“Kami meminta wanita (anggota Paskibraka) yang memakai tudung untuk terus memakainya (semasa bertugas),” kata Heru Budi semalam, seperti dipetik agensi berita Antara.

Ahli-ahli Paskibraka memakai tudung semasa raptai pakaian untuk majlis Hari Kemerdekaan di Nusantara pagi itu, tambahnya.

Pengerusi BPIP, Yudian Wahyudi sebelum ini mewajarkan keputusan mengarahkan anggota Paskibraka menanggalkan tudung mereka dengan alasan keseragaman.

“Kita mesti faham bahawa ahli Paskibraka harus seragam,”  kata Yudian petang semalam.

Beliau juga memberitahu anggota tentera bahawa mereka akan dikehendaki menanggalkan tudung hanya semasa upacara induksi dan menaikkan bendera.

Menurut Heru Budi,  BPIP tidak melaporkan kepada Sekretariat Presiden berhubung arahannya kepada ahli Paskibraka wanita untuk menanggalkan tudung mereka.

Seorang pegawai tinggi Majlis Ulama Indonesia (MUI) melahirkan rasa kecewa terhadap peraturan yang kini terbalik kerana melarang ahli Paskibraka wanita memakai tudung.

“Kami tentu kesal dengan tindakan ini kerana selain tidak menghormati hak asasi manusia, ia juga telah menghina Perlembagaan Republik Indonesia sendiri,” kata timbalan pengerusi MUI, Anwar Abbas dalam satu kenyataan yang dipetik oleh Kumparan.

“Bagi wanita Islam, memakai tudung adalah satu ibadah.

“Justeru, jika ada pihak yang melarang wanita Islam memakai tudung di negara ini, bermakna orang berkenaan telah tidak menghormati Perlembagaan dan juga menghina agama Islam,” katanya lagi. – AGENSI 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *