JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan kejadian anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) membelasah dua anggota polis yang berkawal di sebuah pos keselamatan, lapor laman berita Detik.
Kejadian berlaku di Simpang Dam, Batam, dalam wilayah Riau pada Khamis lalu.
Berdasarkan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV), seorang lelaki memakai pakaian seragam tentera turun dari sebuah kereta bersama tiga individu lain.
Mereka menghampiri dua anggota polis yang berkawal di pos PAM Simpang Dam, lalu membelasah kedua-dua mangsa.
Salah seorang daripada kumpulan tersebut turut dilihat mengambil sebilah parang dari dalam kereta sebelum dua anggota polis itu melarikan diri.
Panglima Daerah Tentera (Dandim) 0316/Kolonel Batam, Inf Rooy Chandra Sihombing berkata, selepas disiasat, pihaknya mendapati anggota TNI terbabit dikenali sebagai AP.
Menurutnya, seorang rakan mengadu kepada AP bahawa dia diganggu oleh sekumpulan penduduk di Simpang Dam.
AP yang memakai pakaian seragam, dan tiga rakannya kemudian pergi ke lokasi tersebut untuk memukul individu yang dimaksudkan.
“Dua anggota Polis Sektor Sei Beduk secara tidak sengaja turut menjadi sasaran,” kata Rooy.
Ujarnya, AP telah ditahan Jumaat lalu dan ketika disoal siasat, lelaki itu mengaku tindakan tersebut dilakukan secara spontan.
AP kini ditahan dan akan dihukum mengikut undang-undang tentera.
Rooy berjanji untuk memastikan bahawa pelaku akan dikenakan tindakan tegas susulan perbuataannya. – AGENSI