AS veto draf resolusi PBB gencatan senjata Gaza

as veto 2

Wood bercakap semasa mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di Asia Barat di ibu pejabat PBB di Bandar Raya New York semalam. – AFP

BANDAR RAYA NEW YORK – Amerika Syarikat (AS) memveto draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal di Gaza serta pembebasan semua tebusan.

Agensi berita United Press International melaporkan, draf resolusi memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi daripada 15 ahli majlis. 

Sebanyak 14 daripada ahli Majlis Keselamatan mengundi untuk resolusi semalam tetapi ia dihentikan oleh undi Washington.

AS merupakan salah satu daripada lima ahli tetap yang mempunyai kuasa veto selain China, Russia, Britain dan Perancis.

Duta Besar AS ke PBB, Robert Wood menjelaskan sebelum mesyuarat itu tentang mengapa Washington tidak dapat menyokong resolusi tersebut.

“Kami menjelaskan sepanjang rundingan bahawa kami tidak dapat menyokong gencatan senjata tanpa syarat yang gagal membebaskan tebusan.

“Resolusi ini mengabaikan keperluan itu,” ujarnya.

Duta China ke PBB, Fu Cong memberitahu Majlis Keselamatan: “Tidak hairanlah orang ramai berasa marah selepas Israel secara terang-terangan melanggar setiap garisan merah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”

Tambah beliau, AS berulang kali memveto tindakan Majlis Keselamatan terhadap perang di Gaza.

“Amerika Syarikat harus mengambil serius keanggotaannya dan menyokong usaha Majlis Keselamatan untuk mencapai gencatan senjata Gaza,” katanya.

Duta Besar Algeria ke PBB, Amar Bendjama pula berkata, berdasarkan undian semalam, apa yang ditunjukkan kepada rakyat Palestin adalah ‘ketika majoriti besar dunia berdiri dengan solidariti bersama mereka, yang lain masih tetap tidak peduli dengan penderitaan mereka.

“Mesej hari ini (semalam) adalah jelas kepada kuasa penjajah Israel bahawa anda boleh meneruskan pembunuhan beramai-ramai dengan sewenang-wenangnya. Dalam dewan ini, anda menikmati imuniti,” kata Bendjama secara sinis. – AGENSI