AS serang kemudahan simpanan senjata Houthi

AS serang

Sebuah tangki minyak hangus dalam serangan ke atas kemudahan penyimpanan minyak di bandar Hodeida yang dikuasai Houthi pada 25 Julai lalu. – AFP

SANA’A – Pesawat perang Amerika Syarikat (AS) melancarkan beberapa serangan malam semalam ke atas kemudahan penyimpanan senjata canggih kumpulan Houthi di Yemen, kata Pentagon.

Kemudahan itu mengandungi pelbagai senjata yang digunakan untuk menyasarkan kapal-kapal tentera dan awam yang melalui perairan antarabangsa di seluruh Laut Merah serta Teluk Aden, demikian menurut maklumat yang diberikan kepada AFP oleh Pentagon.

Rangkaian televisyen Al Masirah yang dikendalikan Houthi melaporkan tiga serangan tentera AS dan Britain yang menyasarkan daerah selatan Al Sabeen di ibu negara, Sana’a.

“Saksi berkata bahawa mereka mendengar bunyi deruan pesawat yang kuat, disusuli dengan letupan di bahagian berlainan di ibu kota, Sana’a,” lapor Al Masirah.

Serangan itu berlaku tiga hari selepas pemimpin Houthi, Abdul Malik al-Houthi mengkritik pemilihan Donald Trump sebagai Presiden AS akan datang kerana menyokong Israel. 

Washington dan London telah berulang kali menyerang sasaran Houthi di Yemen sejak Januari lalu sebagai tindak balas kepada serangan ke atas laluan perkapalan di Laut Merah dan Teluk Aden.

Houthi berkata, serangan-serangan tersebut, yang telah mengganggu lalu lintas maritim di laluan air yang penting secara global, menyasarkan kapal yang dikaitkan dengan Israel dan sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza.

Dalam lebih 100 serangan Houthi selama hampir setahun, empat kelasi terbunuh dan dua kapal karam. Sebuah kapal dan anak kapalnya pula kekal ditahan sejak dirampas pada November tahun lalu. – AFP